Sunday, September 27, 2015

BAHAGIA


Semua orang inginkan kebahagiaan. Namun definasi bahagia bagi setiap orang adalah berbeza. Ada yang bahagia bila hidup kaya raya. Ada yang rasa bahagia walaupun hidup sekadarnya. Ada yang bahagia dengan gaya hidup socialite. Ada yang bahagia bila punya masa untuk hadir usrah dan kelas agama. Ada yang bahagia dengan kawan yang ramai. Ada pula yang merasa bahagia bila duduk sendirian. Ada yang meletakkan bahagia pada rohani yang mencukupi. Ada yang meletakkan bahagia pada makan yang mencukupi. Ada yang meletakkan bahagia pada masa yang mencukupi. Ada yang meletakkan bahagia pada material dan kemewahan harta benda. Bahagia itu sesuatu yang sangat subjektif. Tapi aku cuma percaya kepada satu hal. Kita akan rasa bahagia apabila kita bersyukur dengan apa yang ada dan tidak membanding banding kehidupan kita dengan orang lain. Orang yang tak bersyukur, memang susah merasa bahagia. 

Kita punya keluarga yang serba mencukupi. Punya rezeki untuk peroleh zuriat yang ramai. Punya suami yang rajin membantu dengan urusan rumahtangga. Cuma satu hal sahaja yang kurang. Kemewahan wang ringgit dan harta benda. 

Seorang yang lain pula, suami bergaji kecil. Kalau inginkan apa-apa perlu berusaha sendiri kerana kadangkala makan pakai pun tidak mampu ditanggung suami. Setiap bulan akan defisit. Maka berhempas pulas dia berniaga. Bangun seawal jam empat pagi untuk sediakan nasi lemak untuk dijual. Usai subuh perlu siapkan anak anak pula. Bukan sahaja urusan anak anak dan rumahtangga, malah urusan mencari wang juga sama terbeban dibahunya.

Seseorang yang lain pula, punya kemewahan harta benda yang tak akan habis. Punya anak, tetapi anak tunggal dan jauh pula dari mata. Punya suami, tapi jarang ada di rumah. Sudahlah sibuk dengan kerja, masa yang ada perlu dibahagi dua pula kerana suaminya beristeri dua.

Seorang yang lain pula, tinggal sendirian walau usia sudah separuh abad. Jodoh tak sampai sampai. Ada kerjaya, ada wang, punya masa yang banyak dan hidup bebas, tapi kesepian. 

Adakah ketiga tiga wanita ini hidup bahagia? Terlalu subjektif untuk kita adili bukan? Barangkali mereka bahagia dengan hidup yang telah diaturkan. Barangkali mereka merasa tidak bahagia dan mahukan lebih lagi dari apa yang mereka ada. 

Cerminkan pula diri dan kehidupan sendiri. Adakah kita merasa bahagia? Kalau merasa tidak bahagia apakah puncanya? Tanyakan pula kepada diri sendiri. Apakah pemberian tuhan masih belum mencukupi buat kita? Apakah orang lain ada apa yang kita ada? Pernahkah kita merasa bersyukur dan tidak membandingkan kehidupan kita dengan kehidupan orang lain? Pernahkah kita ambil peduli akan perasaan orang lain, pengorbanan orang lain atau kita tak pernah ambil kisah lansung? Atau yang sering kita congakkan cuma pengorbanan sendiri sahaja? 

Kita selalu rasa tak bahagia apabila kita sering mengira apa yang kita tak ada. Walhal kita lupa bahawa banyak nikmat yang sengaja kita dustakan. Bersyukurlan kerana Allah telah janjikan sesuatu yang lebih lagi apabila kita merasa bersyukur. Jangan didustakan nikmat yang ada kerana orang lain terlalu mendambakan perkara yang kita ada. Cuma kita saja yang tak reti nak bersyukur. 
Reactions:

0 orang cakap: