Friday, September 11, 2015

CATATAN BUAT ANAKANDA

Buat anakanda,

Yang bakal melihat dunia, berhadapan dengan segala macam sikap manusia. Ibu tidak akan meminta kamu untuk menjadi seperti apa yang ibu mahu - jadi doktor, lawyer malah parti politik mana kamu mahu sebelahi pun ibu tidak akan ikut campur. Tapi dalam meniti kehidupan ini, jadilah manusia seperti yang ibu beritahu di bawah ini. 

1. Jangan lah nanti kamu berbuat sesuatu semata-mata kerana ingin dipuja. Jadilah orang yang ikhlas. Berbuat baik seadanya. 

2. Dalam hidup ini, jangan berlumba-lumba dengan orang. Jadilah seorang manusia yang berhati besar. Cari jalanmu sendiri, berlumba dengan diri sendiri. Cabar dirimu sendiri. Jangan jadikan dunia ini sebagai medan untuk berlumba dengan yang lain. 

3. Jadilah orang yang telus dan jujur. Bukan bermuka-muka semata-mata kerana ingin dikasihi.

4. Jangan lah jadi orang yang merebut kasih sayang manusia. Berbuat sesuatu biar kerana Allah. 

5. Hidup ini bukan untuk membuatkan orang merasa tertarik dengan kita, memuja muji kita. Jangan sekali-kali cuba melakukan sesuatu demi untuk mendapat perhatian orang. Jadilah dirimu sendiri. Tidak perlu berpura-pura baik di hadapan orang. Maka kamu tidak akan pernah merasa penat.


Ini sahaja pesan ibu. Secara seluruhnya, hiduplah dengan penuh ikhlas.

Selama 158 hari ini, berbagai perkara yang berlaku. Semuanya menguji sabar. Tapi sabar ibu tidak setebal mana. Mudah mudah dikoyak perasaan. Jadilah manusia yang kuat, tebal dengan sabar. Jangan biar sabar itu dikoyak perasaan seperti ibu. 122 hari lagi kita bakal bertemu. Keluarlah kamu nanti dengan mudah anakku. Biar apa pun dugaan dan cabaran di dunia ini, ibu sentiasa ada untuk memeluk kamu. Ibu sentiasa ada untuk menjadi pasakmu, agar kamu dapat terus berdiri dan tidak rebah ke bumi.


Yang benar,

Ibu

Reactions: