"Segala yang dihajat, tapi tak didapat, adalah nikmat yang paling padat"
Begitulah kata Pak Samad di dalam bait puisinya.
Ini adalah nikmat yang terpaling padat. Padat kejadahnya?
Penantian ini menemukan kekecewaan pada hampir setiap bulan. Sehingga ke hari ini aku masih belum pernah jemu menanti. Kadang-kadang jauh di sudut hati aku terlajak berburuk sangka dengan tuhan. Aku persoalkan kenapa orang lain yang lebih teruk dari aku dapat merasakan nikmat sedemikian? Besarkah sangat dosa aku sehingga dihukum dengan penantian yang aku tak tahu di mana hujungnya ini?
Dramatik kan?
Tapi ini lah realitinya. Emosi ini membuatkan fikiran aku menerawang dan liar.
Kadang-kadang bila aku tersedar dari khilaf, lekas lekas aku beristighfar memohon keampunan tuhan. Betapa aku ini insan yang lemah. Aku ini insan yang lemah jiwanya, sedangkan ujian tuhan bukan semata-mata kerana kita ini berdosa. Tuhan tidak akan pernah menghampakan hambanya.
Kadang-kadang perasaan terlalu-mahu membuatkan aku larut di dalam emosi yang pilu. Sampai aku lupa dengan nikmat nikmat lain yang membahagiakan. Banyak sebenarnya. Tidak terhitung. Dan kerana kehendak yang satu ini, aku terus lupa. Sirna setiapnya.
Nah ! Barangkali ini lah yang dimaksudkan oleh Pak Samad. Namun hati aku masih berat, dan sebal.
Comments